Khamis, 20 Januari 2011

TAUBAT DI PINGGIRAN HATI



Bismillahirohmanirohim...

Ketika kita sedang membaca tulisan ini, apakah dosa terakhir yang telah kita buat sebelum ini? dalam masa sesaat, seminit, sejam, sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya sebelum ini, apakah kita telah melaluinya tanpa sebarang dosa pun yang terpalit di hati? Hakikatnya, kita semua pasti telah melakukan dosa, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya. Ya, setiap bani Adam itu pasti melakukan dosa, sebaik-baik orang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Persoalannya, adakah kita tergolong di kalangan sebaik-baik orang yang berdosa?
Sehebat mana maksiat yang kita lakukan, kita pasti membencinya tatkala kita kembali merenung dan bermuhasabah sendirian. Sepuas mana hati itu merasa dengan dosa yang kita lakukan, pasti ada tersudut perasaan benci, dan menyesal yang teramat sangat atas apa yang telah kita lakukan. Itulah fitrah yang telah Allah ciptakan dalam diri kita. Bukannya kita tidak merasa menyesal, tapi kita selalu menolak rasa penyesalan dan masih terus memenangkan kemaksiatan. Kita ingin bertaubat dengan sebenar-benarnya, namun perasaan ingin bertaubat itu tersisih di pinggiran hati.
Pun begitu, Allah memahami kita lebih daripada kita memahami diri sendiri. Allah itu terlalu besar pengampunannya buat hamba-hamba-Nya. Namun, kita selalu bongkak dan merasa bahawa dosa kita itu lebih besar daripada rahmat Allah dan tak mungkin terampun. Sombong, tidak mahu kembali kepada Allah. Lalu kita berputus asa daripada menagih keampunan dan Rahmat Allah kerana dibohongi perasaan sendiri, dipalingkan oleh syaitan, dikuasai oleh ego yang tidak selayaknya bagi kita. Kita mengeluh sendirian, “ah, aku terlalu berdosa, tak mungkin aku dapat kembali ke jalan yang lurus”, seolah-olah kita itu lemah dan patut dikasihani, namun sebenarnya kita itu sombong dan angkuh terhadap Allah! Sedarkah kita?
Lalu kita terus mengikuti dosa dengan dosa, sedangkan Rasulullah berpesan:
“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kesalahan kamu dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapuskan kesalahan tersebut dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi)
Jelas bahawa seorang hamba itu tidak dapat lari daripada tergelincir ke lembah maksiat dan dosa, namun dia juga sentiasa dialu-alukan oleh Allah untuk memohon ampunan dan kembali taat. Maka tatkala kita merasakan bahawa kitalah yang paling berdosa dan terlalu besar maksiat yang kita lakukan, kita juga harus sedar bahawa tatkala itu, kitalah yang paling wajib untuk kembali ke pangkuan Ilahi, bertaubat sepenuh hati. Ya, taubat itu bagi seorang Mukmin bukannya satu pilihan, tapi satu kewajipan kerana dosa itu sesuatu yang tidak dapat dielakkan, besar mahupun kecil.
Itu satu sudut pandang buat mereka yang berdosa, agar kita tidak terjerumus ke dalam tipu daya syaitan yang menghalang kita daripada menagih keampunan Allah biar sebesar mana dosa kita. Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, lantas hilang sebelum sempat ia memasuki hati. Namun, dalam satu sudut yang lain, tidak harus kita berangan-angan akan Rahmat Allah lantas selesa dengan berbuat dosa. Kita memujuk hati dengan mengatakan, “Allah itu kan Maha Pengampun, jadi tak ada masalah berbuat dosa berkali-kali.” Anggapan yang sebegini akan menjerumuskan kita lebih jauh ke dalam lembah kemaksiatan sehingga semakin sukar untuk kita kembali.
Maka, jangan tunggu dosa itu bertampuk dan semakin menggelapkan hati. Tatkala kita terdetik untuk bertaubat, teruskanlah taubat itu dan jangan lengah-lengahkan atau tangguhkan. Setiap kali kita tergelincir, bertaubatlah. Allah tak mengira berapa kali kita sudah melakukan dosa tersebut, tetapi Allah pasti menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan lahir daripada sudut hati yang sedar akan kekuasaan Allah.
Jangan biarkan taubat itu tersisih di pinggiran hati, masukkan ia ke dalam hati dan laluilah jalan yang diredhai Allah. Mudah-mudahan Allah tidak menyisihkan kita di hari perhitungan di pinggiran Neraka, bahkan di jurang api neraka. Na’udzubillah!
“Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti keinginannya menghendaki agar kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran). Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”
(An-Nisaa’: Ayat 27-28)

Ahad, 16 Januari 2011

Doaku Untukmu...

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

"Apakah doamu pada hari ini?" tany Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hany tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertany, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.
Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali."
"Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?"
"Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan."
"InsyaALLAH, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat," kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
"Bagaimana dengan anakmu?" tany Ali.
"Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya cuma bertambah baik sedikit sahaja."
"Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau......"
"Kenapa dengan aku?"
"Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab." Ahmad tersenyum...
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, "Aku hairan, doamu tidak mustajab."
"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah."
"Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau."
"Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.

Cerita dipetik daripada Majalah Solusi Isu 22...

Hidup ini perlu banyak memberi kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Dan tidak semestinya pemberian itu hanya dari sudut kebendaan, doa adalah pemberian yang sangat berharga, lebih-lebih lagi doa yang tidak diketahui oleh penerimanya. Banyakkan bersyukur dengan apa yang kita ada, mungkin apa yang kita miliki sekarang adalah daripada doa orang lain kepada kita...